KUALA LUMPUR – Penyanyi cilik Indonesia, Tegar mengejutkan industri hiburan apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual oleh bekas pengurusnya, Muhammad Arif Dollah sekitar November 2014 sehingga Januari tahun ini.
Menerusi laporan portal hiburan Kapanlagi.com, Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 13, mendakwa gangguan seksual itu berlaku sepanjang hampir dua bulan dia berada di Malaysia.
“Di hotel setiap kali mahu tidur, Pak Arif menyuruh saya memakai seluar dalam sahaja dengan alasan seluar tidur belum dibasuh. Dia juga akan tidur dengan mengenakan hanya seluar dalam.
“Selain itu, dia suka tidur dekat-dekat dengan saya termasuk dekat bahagian belakang badan. Dia juga :ajak saya mandi bersama.
“Sewaktu mahu makan dia turut meminta bercium,” dakwa Tegar pada sidang akhbar yang berlangsung di Pejabat Komisi Nasional Perlindungan Anak di Pasar Rebo, Jakarta Timur, Indonesia kelmarin.
Dakwa penyanyi yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, selepas beberapa hari berada di Malaysia, permintaannya untuk menghubungi keluarga di Indonesia telah dihalang Arif.
“Sudah beberapa hari di Malaysia, saya mahu hubungi bapa, tetapi Pak Arif memberi pelbagai alasan seperti telefon bimbit tiada kredit, bateri habis, tiada WiFi dan harus mesyuarat terlebih dahulu. Jadi, susah untuk saya hubungi bapa,” ujar Tegar lagi.
Sehubungan itu, Tegar telah membuat laporan di Komisi Nasional Perlindungan Anak di Pasar Rebo, Jakarta Timur pada Isnin lalu dan turut membuat laporan polis berhubung gangguan seksual dan perbuatan mencuri oleh pengurusnya semalam di Bareskrim, Jakarta Selatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Harpa Records, Handoko Kusumo ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pihak syarikat rakaman itu dan keluarga Tegar mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai gangguan seksual tersebut kerana ia meninggalkan trauma ke atas penyanyi itu.
0 Kaki Cili Padi "Tegar - Dia ajak saya mandi bersama,juga minta di cium"