Punca Dan Sebab Kenapa Ibu Bapa di Buang Anak Sendiri
Acapkali kali mendengar, melihat dan membaca perihal ibu bapa yang dibuang oleh anak anak mereka sama ada ditinggalkan di sebuah rumah usang secara bersendirian, ditinggalkan di tepi jalan atau dihantar ke rumah orang orang tua. Memang sedih dan pilu melihat ibu bapa yang telah membesarkan anak mereka dengan penuh jerih payah namun diperlakukan sebegitu rupa oleh anak anak apabila anak anak sudah meningkat dewasa. Di mana sifat perikamanusiaan seorang anak terhadap ibu bapa yang telah melahirkan dan membesarkan mereka selama ini?
Fenomena ini bukan baru dan semakin lama semakin banyak kes tersebut dipaparkan sama ada di media cetak mahupun di media elektronik. Media media sosial pun tidak ketinggalan membahaskan isu yang menyayat hati ini. Sebagai penulis blog, saya tertanya tanya mengapa anak anak ini sanggup memperlakukan ibu bapa mereka sebegitu rupa? Tidak tahukah mereka akan dosa dan pahala? Tidak tahukah mereka akan keberkatan doa seorang wanita yang bernama ibu? Ini persoalan yang perlu dijawab dan diperbahaskan bagi menangani masa ini. Satu kajian yang menyeluruh juga perlu dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian.
Mungkin ada yang berpendapat anak anak yang membuang ibu bapa mereka yang telah tua itu kerana mereka seorang anak yang tidak mengenang budi. Apabila mereka telah kaya mereka malu kerana mempunyai ibu bapa yang miskin hina lalu tergamak membuang ibu bapa mereka sendiri. Mungkin juga ada yang berhujah anak anak tidak punya masa untuk menjaga dan menguruskan ibu bapa mereka yang telah tua itu lalu meninggalkannya di rumah orang tua tua tanpa menjenguk mereka selama bertahun tahun.
Jujur saya tidak menafikan atau menolak hujah hujah tersebut. Semua hujah dan pendapat itu ada benar dan bernas juga. Tetapi pada saya itu bukanlah punca utama mengapa anak anak masa kini sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana mereka tidak mengenang budi atau tidak punya masa untuk menjaga ibu bapa mereka sendiri. Pada hemat saya, punca sebenar ibu bapa dibuang oleh anak anak mereka adalah kerana cara didikan yang kasar yang dipraktikkan di rumah sejak anak anak mereka kecil lagi.
Kebanyakkan ibu bapa mendidik anak anak bukan dengan kasih sayang sebaliknya dengan ketegasan dan kemarahan yang membuta tuli. Ketegasan itu penting tetapi jika terlalu tegas dengan anak anak akan membawa kesan buruk dalam jiwa dan psikologi anak anak. Pantang anak anak silap sedikit, mereka menjerit, mengherdik, memaki hamun, dan menyumpah seranah anak anak mereka sebagai satu hukuman di atas kesalahan tersebut padahal kesalahan tersebut tidaklah besar mana. Kesalahan tersebut hanyalah tidak membasuh pinggan yang banyak di sinki dapur.
Selain itu juga, mereka selalu menghukum anak anak mereka dengan cara yang salah. Hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Sebagai contoh, jika anak mereka tidak menyusun kasut yang bertaburan di luar rumah, maka mereka akan menjerit dan mengherdik dengan penuh kemarahan kepada anak anak mereka di atas kesalahan yang kecil itu. Lebih parah lagi, mereka lantas merotan atau melibas anak mereka dengan tali pinggang di atas kesalahan yang kecil itu. Mereka langsung tidak mahu menggunakan pendekatan nasihat dan kasih sayang untuk menegur kesalahan anak mereka.
Ramai juga ibu bapa suka membeza-bezakan kasih sayang di antara anak anak. Anak anak yang pandai dan cantik akan disayangi melebihi anak anak yang tidak pandai atau tidak cantik itu. Anak anak kesayangan tidak disuruh melakukan itu dan ini tetapi anak anak yang tidak disayangi disuruh melakukan itu dan ini.
Jangan terkejut jika ada ibu bapa yang bersikap ego dengan anak anak mereka. Mereka merasakan diri mereka terlalu besar kerana mereka adalah ibu bapa – mereka membesarkan, melahirkan, dan memberi makan kepada anak anak mereka. Oleh itu, mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka terhadap anak anak mereka atas dasar mereka adalah ibu bapa. Mereka langsung tidak mahu mengaku kesalahan mereka walaupun kesalahan itu adalah yang sama dilakukan oleh anak mereka. Sebagai contoh, mereka memarahi anak mereka kerana tidak menutup air paip yang terbuka namun mereka juga melakukan perkara yang sama. Kemudian mereka memarahi anak mereka kerana tidak menutup air paip itu padahal mereka yang tidak menutupnya atas alasan anak mereka tidak boleh menolong menutup air paip itu.
Ada juga segelintir ibu bapa yang suka mengawal hidup anak anak mereka secara melulu. Mahu makan apa, mahu pakai baju apa, mahu pakai kasut apa, tidak boleh buat itu dan tidak boleh buat ini. Mereka juga kerap memaksa anak anak mereka belajar tanpa rehat atau belajar bidang yang mereka minat dan bukannya bidang yang anak mereka minat. Akibatnya anak anak mereka pula berasa terseksa dengan sikap ibu bapa mereka sendiri dan mulai bosan untuk tinggal bersama ibu bapa mereka sendiri.
Dengan sikap tidak baik ibu bapa mereka itulah telah mencetuskan perasaan dendam kesumat anak anak terhadap ibu bapa mereka sendiri. Mereka mendendami ibu bapa mereka sejak mereka kecil lagi lalu mereka memuntahkan lahar dendam itu apabila mereka meningkat dewasa. Mereka membuang ibu bapa mereka bukan kerana mereka tidak sayang tetapi kerana rasa dendam yang telah bersarang di dalam hati mereka sejak sekian lama akibat sikap sikap tidak baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka semasa membesarkan mereka dahulu.
Walaubagaimanapun, dendam kesumat dan membuang ibu bapa bukanlah satu sikap yang baik malah dicela oleh Allah s.w.t. Ibu bapa telah bersusah payah membesarkan kita dan wajarlah kita hormat kepada mereka walaupun mereka buruk mana sekalipun. Ibu bapa haram diderhaka walaupun mereka telah melakukan kesalahan yang besar terhadap diri kita. Walaupun ibu kita seorang pelacur sekalipun, kita wajib mentaati perintah mereka asalkan tidak bercanggah dengan agama kita.
Kesimpulannya, sebagai ibu bapa, didiklah anak anda dengan kasih sayang dan nasihat bukannya kemarahan, herdikan, dan jeritan semata mata. Hukumlah anak anda dengan balasan yang setimpal dengan kesalahan mereka. Ingatlah, anak anda adalah manusia biasa. Mereka juga punya hati dan perasaan. Jangan perlakukan mereka seperti binatang. Anak anak pula janganlah buang ibu bapa anda sebegitu sahaja kelak laknat Allah akan datang kepada anda. Ingatlah, syurga itu di telapak kaki ibu. Tanpa doa restu seorang ibu, tidak bahagialah hidup anda di dunia dan diakhirat.
0 Kaki Cili Padi "Punca Dan Sebab Kenapa Ibu Bapa di Buang Anak Sendiri"