'Perkahwinan Bukti Cinta Terhadap Hanez Suraya' - Romie



PUTRAJAYA: Suami kepada Hanez Suraya iaitu Romie Razin Adilha Abd Rais memberitahu perkahwinan adalah bukti dia mencintai wanita berkenaan biarpun sebelum ini hubungan mereka dilanda pelbagai kontroversi.

Romie, 35, berkata, dia berharap semua cerita kurang enak mengenai mereka sebelum ini tidak akan dibangkitkan lagi kerana ia sudah menjadi sejarah dalam hidup mereka berdua.

"Selepas apa yang kami berdua lalui, Alhamdulillah ia berakhir dengan ikatan yang sah dan berharap tiada apa lagi akan dibangkitkan selepas ini.

"Pernikahan ini adalah bukti saya cintakan Hanez dan mahu menjadi seorang suami yang baik dan membimbingnya ke arah kebaikkan selepas ini," katanya.

Terdahulu, pasangan berkenaan sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Putra di sini, Sabtu.

Hanez, 30, dinikahkan sendiri oleh bapanya, Abdul Aziz Mohd Said di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Abd Manaf Mat dengan mas kahwin sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu, Romie berkata, dia kagum dengan kecekalan Hanez menghadapi semua kontroversi sehingga membuatkan dia sedar wanita berkenaan adalah pasangan hidupnya yang sesuai.

Jelas Romie, penerimaan Hanez terhadap dua anaknya juga membuatkan dia terharu kerana bukan semua wanita sanggup menerima lelaki yang telah pun mempunyai tanggungjawab besar.

"Baharu sahaja kahwin, Hanez sudah ada dua anak dan bukan semua wanita sanggup untuk terima tanggungjawab itu.

"Tetapi dia cekal dan kuat untuk berhadapan dengan segala cabaran yang dlalui sebelum ini dan doa saya jodoh kami akan berkekalan selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, Hanez berkata, selepas ini dia akan menumpukan perhatian kepada perkahwinannya dan akan meletakkan karier lakonan ditangga kedua.

Pun begitu kata Hanez, dia akan tetap menerima tawaran lakonan yang diberikan kepadanya namun sekiranya mendapat keizinan daripada suaminya.

"Masih akan berlakon tetapi buat masa ini rumah tangga dan anak-anak menjadi keutamaan.

"Romie juga tidak menghalang saya terus berlakon tetapi saya ingin perlahankan seketika dan itu keputusan saya," ujarnya yang ingin segera menimang cahaya mata.

Dalam perkembangan lain, pasangan itu memberitahu merancang untuk mengerjakan ibadah Umrah di Mekkah pada April depan sebagai destinasi bulan madu mereka.
0 Kaki Cili Padi "'Perkahwinan Bukti Cinta Terhadap Hanez Suraya' - Romie"

 
Copyright © 2014 Putar Belit - All Rights Reserved
Template By Catatan Info