Negara Kehilangan Pesilat Negara
SINGAPURA: Pesilat negara yang pernah memenangi 13 pingat emas dalam pertandingan dalam negeri dan peringkat antarabangsa, Muhammad Nurshahrin Bin Shahruddin, 22 tahun meninggal dunia hari ini (14 Mac) di rumahnya di Pasir Ris.
Menurut wakil Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Allahyarham meninggal dunia dalam tidur di rumahnya.
Allahyarham pernah mengharumkan nama negara dengan merangkul pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Asia yang diadakan buat julung-julung kalinya di Singapura pada tahun 2011 dan menggondol pingat Gangsa di Sukan SEA Myanmar pada 2013.
Shahrin merupakan pelajar NITEC Tinggi yang aktif dalam pelbagai kejohanan silat sejak 2007.
Allahyarham memenangi 6 pingat emas kesemuanya di peringkat antarabangsa. Di peringkat tempatan pula, Shahrin berjaya merangkul 7 pingat emas.
Kali terakhir Nurshahrin membawa pulang pingat untuk negara ialah dua tahun lalu, apabila beliau menjulang pingat gangsa dalam pertandingan di Myanmar dan Melaka.
Beliau juga beberapa kali muncul sebagai naib juara setelah memenangi pingat perak dalam beberapa kejohanan silat seperti SIJORI dan Pencak Silat UPSI untuk kategori Kelas 'H' dan juga artisitk.
Secara keseluruhannya, Shahrin memenangi 30 pingat antara tahun 2007 dengan 2013. Shahrin juga merupakan pemenang Senior Atlit Terbaik PERSISI pada tahun 2011.
0 Kaki Cili Padi "Negara Kehilangan Pesilat Negara"